Archived news articles - 2006

Berita Harian- 19 May 2006

Panduan bagu kajian ubahsuai genetik
Oleh Soraya Salim

KESELAMATAN awam kini lebih terjamin dengan pengenalan satu garis pandu bagi mengawal penyelidikan berkaitan organisme yang diubahsuai secara genetik (GMO).

Syarikat atau institusi yang ingin menjalankan penyelidikan ke atas bahan GMO, misalnya tumbuh-tumbuhan, haiwan, virus atau toksin, kini dikehendaki merujuk pada garis pandu yang dihasilkan Jawatankuasa Penasihat Pengubahsuaian Genetik (GMAC) itu.

Dilancarkan semalam, garis pandu itu adalah yang pertama dihasilkan di sini dan ditujukan khusus kepada penyelidikan pengubahsuaian genetik.

Penyelidikan GMO dan penghasilan tanaman yang telah diubahsuai secara genetik, seperti kacang soya dan jagung, semakin berkembang di seluruh dunia.

Seanyak 21 negara kini menghasilkan lebih 90 juta hektar tanaman sedemikian.

Pengerusi GMAC, Dr Ngiam Tong Tau, berkata garis pandu itu akan meningkatkan keyakinan para penyelidik dan masyarakat awam.

'Ia memastikan keselamatan awam terjaga dalam pada ia membolehkan penyelidikan terhadap GMO dijalankan.

'Sering saintis bertanya kita adakah mereka melakukan penyelidikan dengan betul dan sudahkah mereka mematuhi segala garis pandu antarabangsa bagi GMO,' kata beliau dalam satu sidang akbar semalam.

Menurut Dr Ngiam lagi, garis pandu itu dihasilkan dengan kerjasama beberapa pihak berkuasa, seperti Kementerian Kesihatan (MOH) dan Penguasa Pertanian Makanan dan Ternakan (AVA).

Pengerusi jawatankuasa yang menyelia penyelidikan GMO, Profesor Madya Chan Woon Khiong, berkata garis pandu itu akan menggalak setiap penyelidik menilai risiko sebelum menjalankan penyelidikan.

Penyeldikan pula akan dinilai di bawah tiga kategori - berisiko besar dan berpotensi merebak kepada manusia atau persekitaran; berisiko kecil dan boleh menjejas penyelidikan yang menjalankannya; dan tidak berisiko.

Sebuah badan bebas, Jawatankuasa Keselamatan-Bio Institusi (IBC), akan diwujudkan untuk meneliti penyelidikan-penyelidikan tersebut, kata Profesor Chan.